SMK METHODIST (ACS) SEREMBAN HOW WELL DO YOU KNOW ABOUT ME? Dengan pengenalan pendidikan Inggeris di negara kita pada kurun ke-19 dan awal kurun ke-20, banyak sekolah Inggeris telah didirikan oleh mubaligh-mubaligh Kristian. Salah sebuah sekolah yang telah diasaskan oleh mubaligh itu ketika itu ialah SMK Methodist (ACS), Seremban. SMK Methodist (ACS) atau dahulunya dikenali sebagai Anglo-Chinese Secondary School (SM Anglo-Chinese) dengan panggilan sekolah ACS saja, merupakan salah sebuah sekolah tertua di Seremban. ACS telah didirikan oleh mubaligh Keristian pada zaman penjajahan Britisah atas permintaan masyarakat Cina tempatan untuk memberikan pendidikan Inggeris sebagai bahasa pengantarnya. Sekolah ACS juga merupakan salah sebuah sekolah yang mempelopori pendidikan campuran di Malaya ketika itu yang terdiri daripada pelajar-pelajar lelaki dan perempuan. Selain itu, sekolah ini juga pernah mempunyai tiga tahap pendidikan iaitu pendidikan tadika Methodist, Sekolah Rendah Methodist, dan Sekolah Menegah Methodist. Tambahan pula, di bawah bumbung yang sama, telah diperkenalkan sebuah sekolah lanjutan Anglo-Chinese yang dinamakan sebagai Methodist Afternoon School. Kini, sekolah ACS telahpun menjangkau usia 94 tahun dan hanya tinggal dua tahap pendidikan saja iaitu SR Methodist dan SM Methodist.

Wednesday, January 13, 2010

KARANGAN

Contoh Karangan : 1. Gejala Merokok

                             2. Isu Dadah

                                     3. Kemajuan Sains dan Teknologi

Gejala Merokok Dalam Kalangan Remaja
Julai 18, 2007 — mindabahasa

Gejala merokok kian meningkat kini walaupun pelbagai kempen dijalankan untuk mengurangkan perokok. Banyak remaja, lelaki mahupun perempuan yang terjebak dalam tabiat buruk ini. Tabiat merokok bukan sahaja membazirkan wang malah membawa pelbagai penyakit yang boleh membawa maut seperti kanser paru-paru. Menurut Menteri Kesihatan, Dato’ Dr. Chua Soi Lek, peningkatan merokok dalam kalangan remaja kian meningkat mengikut statistik pada tahun 2006.
Kempen antimerokok yang sedang dijalankan oleh kerajaan baru-baru ini sememangnya satu langkah yang baik. Kerajaan patut dipuji kerana berusaha untuk membanteras tabiat merokok. Kempen ini memberi penumpuan kepada rupa paras negatif orang yang merokok untuk menakutkan remaja yang terjebak dalam tabiat ini. Kempen ini juga menunjukkan keadaan paru-paru orang yang merokok. Paru-paru tersebut hitam, kering, dan sungguh menakutkan.
Kempen antimerokok ini disebarkan secara meluas dalam pelbagai media. Televisyen, surat khabar, dan juga radio kini dipenuhi dengan iklan-iklan antimerokok. Para remaja yang majoritinya menonton televisyen serta mendengar radio diberi kesedaran mengenai tabiat merokok dan kesan-kesan melalui iklan-iklan ini. Melalui pengiklanan golongan sasaran kempen ini, iaitu perokok seharusnya dapat dicapai dan kadar perokok dapat dikurangkan.
Kempen antimerokok yang dilancarkan oleh kerajaan kira-kira setahun yang lalu di seluruh negara berlandaskan slogan “Tak Nak!” Slogan ini sangat sesuai untuk membuang tabiat buruk merokok dan mengatakan “tak nak kepada rokok.” Kesan-kesan buruk tabiat merokok yang dipaparkan dapat menanam rasa takut dalam jiwa perokok. Pihak kerajaan berharap kempen-kempen ini dapat menyedarkan perokok untuk berhenti merokok dan mengamalkan gaya hidup sihat.
Kempen antimerokok ini merupakan antara langkah kerajaan yang amat dipuji. Harapan kerajaan melalui kempen ini adalah untuk menyedarkan perokok dan mengurangkan jumlah perokok khususnya remaja.
Kesimpulannya, semua pihak berkenaan perlulah bekerjasama untuk menghapuskan tabiat yang membunuh ini. Dengan usaha kerajaan yang berterusan dan intensif ditambah dengan kerjasama masyarakat diharapkan kempen ini akan berjaya.


Contoh Karangan Pendapat : Isu Dadah

Jun 4, 2007 — mindabahasa

          Apabila anda merdengar ungkapan “Enam Jahanam”, apakah yang mungkin anda fikirkan ? Adakah itu judul sebuah filem klasik P. Ramlee atau nama kumpulan penjenayah yang diburu oleh pihak polis ? Rupa-rupanya, ungkapan itu merujuk kepada enam jenis dadah yang harus diberi perhatian serius kerana penyalahgunaannya yang meluas – heroin, kokain, ecstasy, kanabis, syabu dan morfin. Sewaktu melancarkan “Karnival Enam Jahanam”, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyatakan bahawa isu dadah di negara kita  berada pada tahap yang berbahaya. Oleh itu, kerajaan mengisytiharkan dadah harus diperangi hingga ke akar umbi kerana dadah merupakan musuh nombor satu negara.Apakah sebenarnya dadah ? Dadah yang fungsi asalnya ialah bahan perubatan merupakan bahan kimia psikoaktif yang mempunyai kesan ke atas sistem saraf pusat seperti menyebabkan keadaan khayal, ketagihan dan gangguan tingkahlaku. Penyalahgunaanya yang berterusan mendatangkan kerosakan kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara.  
Pada akhir tahun 1960-an, negara  kita   mulai  mengalami  masalah  dadah   Golongan remaja  dipengaruhi oleh kebudayaan ‘hippie’ dan askar-askar Amerika  yang  melancong ke Pulau Pinang. Sebagai kesan daripada kedua pengaruh tersebut, penagihan dadah telah merebak ke seluruh negara. Golongan  muda  yang  terlibat  dalam  penagihan  dadah merupakan  pemuda- pemudi  harapan  bangsa  dan  negara   dan  terjerumusnya  mereka  dalam alam khayalan ini mengakibatkan  mereka bukan sahaja tidak berguna kepada  masyarakat  bahkan diri  mereka sendiri. Memandangkan  hakikat inilah,  kerajaan  telah  mengambil  sikap tegas terhadap pengedaran  dadah,  dan  mengambil  langkah-langkah yang perlu untuk melindungi rakyat termasuklah undang-undang yang  amat  ketat. Tetapi, pengedaran dadah nampaknya tidak boleh diselesaikan dengan hanya peruntukan undang-undang seperti Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas 1985) walaupun mereka yang sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman mati mandatori.  Oleh itu, kerajaan telah  melancarkan  kempen  antidadah  di  seluruh  negara  secara  meluas.  Namun demikian,  tanggungjawab untuk memerangi dadah seharusnya  kita  pikul  bersama.
Tindakan   pencegahan   dadah   yang   berkesan memerlukan  penglibatan semua golongan masyarakat. Pada zaman moden ini, golngan muda lebih  bebas,  terdedah  kepada pengaruh asing dan mereka  lebih mengutamakan pandangan rakan sebaya. Dengan ini, mereka mudah terlibat dengan kegiatan yang  tidak  sihat. Untuk  disanjung  oleh  kawan, mereka menunjukkan keberanian dengan  menghisap  rokok  dan  dadah. Sekali  mereka   bermula,   maka   amat  sukar  bagi  mereka memberhentikan amalan buruk ini.   Masyarakat harus dididik  sejak kecil lagi bahawa dadah itu najis, benda yang kotor dan tidak boleh disentuh.  Sekiranya kita berjaya menyemai nilai ini dalam  hati  sanubari  mereka, sebahagian daripada kejayaan pencegahan dadah akan tercapai. Kita  harus sedar bahawa tindakan kita ke arah matlamat mencegah penyalahgunaan dadah ini adalah untuk menyelamatkan bukan sahaja keluarga kita sendiri bahkan generasi muda untuk  mewujudkan  satu bangsa yang bermaruah dan dihormati.
Sebahagian  besar penagih-penagih dadah  di  negara  kita  terdiri  daripada golongan remaja antara 15-29 tahun.  Antara  sebab-sebab utama  mereka  ini menjadi penagih ialah kerana keseronokan, sikap ingin tahu, pengaruh  persekitaran  terutamanya pengaruh rakan sebaya, tekanan emosi disebabkan oleh sama ada kegagalan, tidak mendapat kasih sayang  ibu  bapa atau kerana kemewahan. Hal ini menunjukkan, sekolah boleh memainkan peranan penting dalam membasmi bencana dadah. Pada tahun 2005 ini, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) telah melancarkan program pencegahan penagihan dadah besar-besaran tahun ini dengan sasaran utama terhadap golongan belia terutama pelajar sekolah. Program pencegahan merupakan usaha terbaik bagi mengelak pertambahan jumlah penagih baru di negara ini. Menurut laporan agensi itu, sehingga Oktober tahun 2004, daripada sejumlah 30,659 penagih dadah, sebanyak 15,292 orang adalah penagih baru manakala sebanyak 15,667 adalah penagih berulang. Data ini jelas menunjukkan kita perlu bersungguh-sungguh dengan program pencegahan kerana program pemulihan dan rawatan sukar menghalang penagih-penagih ini mengulangi kegiatan mereka.
Kajian oleh Kementerian Kesihatan menunjukkan kegiatan penagihan dadah lazimnya bermula dengan tabiat menghisap rokok. Ini kerana tabiat ketagihan dihasilkan oleh unsur nikotin dalam rokok. Apabila merasakan rokok tidak memberi kepuasan, mereka beralih kepada ganja dan sekiranya ganja juga tidak memberi keseronokan, mereka akan beralih kepada heroin dan morfin. Jelasnya, pencegahan tabiat merokok juga penting dalam memerangi najis dadah kerana implikasinya terhadap dorongan untuk mendapatkan dadah.    
Masyarakat harus sama-sama menyedari akan kesan pengambilan dadah. Dengan berfikiran rasional,  mereka tentu tidak sanggup menerima risikonya yang menakutkan. Antara kesan-kesannya ialah mendapat penyakit meningitis, penyakit jangkitan jantung, AIDS, Hepatitis B, C, dan D, kerosakan buah pinggang, otot-otot badan mengecut dan berkemungkinan lumpuh. Kesan fizikal pula ialah apabila sekiranya bekalan dadah tidak diperoleh mereka akan berasa keluh-kesah, gian, dan amat menderita. Jelasnya mereka akan berperang dengan kematian kerana terdedah dengan penyakit terutamanya penyakit AIDS yang amat digeruni.  
Kesimpulannya, kita harus bertekad dengan keazaman yang tinggi untuk memerangi dadah. Najis dadah akan kita kuburkan dan wujudlah suasana dadah sifar. Marilah kita sama-sama menghapuskan najis dadah yang “menjahanamkan” masyarakat daripada terus hadir di Malaysia.  Kita tiada pilihan melainkan hanya satu slogan di hati dan di minda pada setiap masa iaitu “Perangi Dadah Habis-Habisan”.

Kemajuan sains dan teknologi lebih banyak
mendatangkan keburukan daripada
kebaikan. Bincangkan.


Zaman sekarang dikenali sebagai zaman sains dan
teknologi kerana terciptanya pelbagai hasil ciptaan
yang canggih dan berteknologi tinggi seperti
komputer dan internet, alat-alat elektrik, kenderaan
dan sebagainya. Setiap ciptaan ini ada kebaikan dan
juga keburukannya.
Pendapat bahawa kemajuan sains dan teknologi
lebih banyak mendatangkan keburukan daripada
kebaikan sememangnya berasas. Cuba kita lihat
selepas terciptanya pelbagai kenderaan, dunia kita
mula dilanda pelbagai nahas seperti kemalangan
jalan raya dan nahas udara yang telah
mengorbankan banyak nyawa manusia. Bukankah
ini suatu kesan buruk kepada manusia?
Selain daripada itu, penciptaan pelbagai jentera
dan robot dalam perindustrian membawa akibat
berlakunya pengangguran. Kemajuan sains telah
merampas periuk nasi beribu-ribu orang pekerja
kerana kerja-kerja yang dahulunya dilakukan oleh
manusia kini dapat dijalankan oleh jentera dan
robot.
Dengan kemajuan sains dan teknologi, manusia
mencipta senjata-senjata moden, misalnya senjata
nuklear yang sangat berbahaya. Senjata-senjata ini
jauh lebih canggih daripada senjata-senjata zaman
dahulu dan dapat membunuh manusia dengan
lebih mudah dan cepat. Senjata-senjata ini menjadi
alasan bagi sesetengah negara untuk bersengketa
sehingga berlakunya peperangan.
Di samping itu, penciptaan peralatan moden ini
merupakan salah satu punca manusia menjadi
semakin malas. Manusia masa kini kurang bergerak
dan kurang menggunakan tenaga. Ini secara tidak
langsung menyebabkan manusia kurang melakukan
senaman dan akibatnya, manusia mudah diserang
penyakit.
Adanya pelbagai ciptaan yang canggih seperti
internet dan komputer menyebabkan manusia
menjadi leka kerana asyik melayari laman web atau
bermain permainan komputer. Masa yang terluang
terbiar begitu sahaja tanpa diisi dengan kerja-kerja
lain yang lebih berfaedah. Akibatnya, pelbagai kerja
tertunda atau tergendala.
Satu lagi keburukan yang dibawa oleh kemajuan
sains dan teknologi ialah bertambahnya jenayah
siber. Bagi mereka yang mahir dan mempunyai
pengetahuan teknologi yang tinggi, mereka dapat
menjalankan aktiviti penyipuan dengan mudah
seperti mencipta kad kredit palsu atau menipu
orang ramai dengan penyebaran maklumat palsu
melalui internet. Semuanya semata-mata kerana
perkembangan pesat dalam bidang sains dan
teknologi yang tidak pernah berlaku pada masa
dahulu.
Sebagai kesimpulan, walaupun ciptaan pelbagai
peralatan moden mendatangkan banyak kebaikan,
namun pada masa yang sama ia mendatangkan
lebih banyak keburukan kepada manusia. Justeru,
untuk mengimbangi kesan positif dan negatif yang
dibawa oleh kemajuan sains dan teknologi, kita
sebagai pengguna harus menggunakan setiap hasil
ciptaan tersebut dengan cara yang betul dan tujuan
yang baik.

1 comment: